Minggu Suai Kenal (MSK) bagi pelajar baharu Politeknik Muadzam Shah (PMS) diadakan sebaik sahaja selepas proses pendaftaran politeknik dan pendaftaran kamsis selesai dijalankan. Minggu Suai Kenal bagi pelajar-pelajar baharu disini dipenuhi dengan pelbagai aktivti yang berfaedah yang telah disediakan oleh pihak kami.
Tujuan diadakan Minggu Suai Kenal ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar utuk memahami dan menyesuaikan diri dengan keadaan kampus PMS setelah anda bergelar siswa dan siswi.
Saya juga tegaskan disini bahawa tiada unsur ragging atau penderaan pelajar kerana tujuan kita masuk ke politeknik ini adalah untuk belajar dan menimba seberapa banyak ilmu yang ada dan tindakan tegas boleh dikenakan sekiranya terdapat aduan dan laporan jika disabitkan dengan kesalahan sedemikian.
Dalam masa tersebut juga pelajar diberi maklumat yang penting berkenaan dengan program pengajian yang ditawarkan, halatuju dan kerjaya serta kemudahan yang disediakan sepanjang para pelajar berada di PMS.
Disamping itu juga pelajar diberi bimbingan ke arah hidup di kampus agar dapat mengenali satu sama lain dengan semangat setiakawan dan saling hormat menghormati sesama pelajar dan pensyarah serta staf di Politeknik di dalam membentuk sahsiah dan keperibadian yang mulia.
Aktiviti berkumpulan juga diterapkan di dalam MSK ini dengan harapan agar pelajar dapat mengenali diri sendiri dan rakan seprogram disamping memperkukuhkan kekuatan diri masing-masing. Persediaan dari segi mental dan fizikal perlulah seimbang untuk menjadikan seseorang pelajar lebih kreatif dan berinovatif di dalam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan yang dipanggil sebagai "Campus Life".
Selain daripada itu, pelajar juga didedahkan dengan sistem pengajaran dan pembelajaran yang sama sekali berbeza sewaktu para pelajar berada di alam persekolahan. Pelajar seharusnya sentiasa bersedia di dalam apa juga keadaan dan janganlah persediaan peperiksaan dilakukan di saat-saat akhir kerana akibatnya dan kesannya adalah sangat buruk.
Didalam melahirkan modal insan yang berkualiti bagi memenuhi aspirasi negara, pelajar juga didedahkan dengan sistem kualiti yang diamalkan di PMS. Ini juga selaras dengan falsafah Politeknik bagi menghasilkan insan yang holistik yang bercirikan keusahawanan.
Justeru itu, adalah menjadi harapan seluruh warga PMS untuk melihat anda menjadi seorang graduan yang mampu mengharumkan nama Politeknik Muadzam Shah bukan sahaja diperingkat kebangsaan malah diperingkat antarabangsa. Maka jadilah pelajar yang mempunyai semangat juang yang kental dan jangan mudah mengalah dalam apa jua bidang yang diceburi.
Sekian
MOHD.HAZELY BIN ABDUL RAHIM
Pegawai Hal Ehwal pelajar
(Pengambilan & Data)
Politeknik Muadzam Shah